Showing posts with label Studio Hati. Show all posts
Showing posts with label Studio Hati. Show all posts

Thursday, October 23, 2014

Bila Kurus, Kalau Gemuk

Assalamualaikum WBT



Jika suka dinilai pada kurus
Bila gemuk, duka menyapa.
Jika cinta diukur pada kurus
Bila gemuk, hilang tawa.
Jika kasih dililit pada kurus
Bila gemuk, pudar serinya.
Jika rindu dikurus, bila gemuk?

Andai suka dinilai kurus
Maka gemuk, pengubat duka.
Andai cinta diukur kurus
Maka gemuk, pengukur tawa.
Andai kasih dililit kurus
Maka gemuk, penambah serinya.
Andai rindu dikurus, maka gemuk?

Jika suka kurus nilainya
Maka duka datang, mengundang gemuk
Jika cinta kurus ukurannya
Maka tawa hilang, mengundang gemuk.
Jika kasih kurus lilitannya
Maka seri kurang, mengundang gemuk.
Jika rindu kurus, siapa gemuk?

Aida Ishak
Shah Alam.

Nilai suka, cinta, tawa, rindu seorang isteri, suami, sahabat, ibu, anak bukan diukur pada fizikal, hartanya ataupun hebatnya dia di dunia,
Nilainya terletak pada mana tangan yang memberi dan pada mana tangan yang memimpin ke arah keredhaanNya.

Luv
Igloomama
Shah Alam

Wednesday, October 15, 2014

Samar dalam Cerah






Nikmat kehidupan yang selalu kita rasa tak cukup sebenarnya hanya perasaan yang mengaburi minda dan mematikan hati.

Sedar sakit bila terhantuk membuatkan kita cuba untuk tidak mengalah pada kehidupan yang kononnya hanya cukup-cukup.

Bila semakin diusaha semakin diberi, kita menjadi riak dengan amalan sendiri dan cuba menjadikan ia seakan sunnah yang wajib dituruti, rukun untuk resepi rezeki.

Percaya itu, percaya ini, sedang diri tahu percaya Allah adalah hakiki.

Koreksi diri, koreksi hati, koreksi amali. 
Untuk siapa dan mengapa, bagaimana dan kenapa.
Adakah Lillahitaala atau dalam kekaburan mendatangkan fitnah pada agama.

Aida Ishak
Shah Alam




Monday, September 15, 2014

Studio Hati: Monolog Pemerhati Gelandangan


Duduknya di situ, 
Menanti mana hala yang hendak dituju.
Hati terusan berdoa agar mudah dipertemu,
Jalan selesai yang kini masih buntu.

Duduknya di situ,
Perlahan mengusap lembut rambut anak-anak,
Yang tidur berlantai papan, beralas tangan.
Matanya terusan merenung seolah mahu melenyap kerisauan.

Duduknya di situ,
Masih memerhati jauh ke hadapan,
Meletak harapan,
Mengingin impian.
Moga satu hari,
Bukan lagi duduknya di situ.

Monolog pemerhati tehenti
Tatkala tangan cuba memberi
Bukan takdir rezekinya 
Mahupun bukan takdir rezeki di pemerhati
Allah ada, sebaik-baik Pemberi.





Aida Ishak
Tasik Kota Kemuning,
Shah Alam
15.9.2014

Wednesday, September 10, 2014

Studio Hati : Kerana mulut







Indah mulut bukan pada zahir, tapi terletak pada tutur, terserlah pada pekerti, tersentuh pada hati

Andai ia suka menyakitkan, tak mustahil suatu hari tutur tak terzahir suka, pekerti tak terserlah elok dan hati tak tersentuh indah....

Tuesday, September 9, 2014

Studio Hati : Mujahadah Rela untuk Redha


Susah untuk melupakan jika sesuatu yang memang telah berada lama dengan kita. Terutamanya yang berada di dalam hati. Organ yang satu ini menyimpan seribu malahan mungkin berjuta rasa dan cerita.

Macam-macam ragam manusia. Pelbagai cerita dan gerak gaya. Ada yang sakit dan menyenangkan, ada sayang dan kebencian, ada suka dan kesedihan.

Meletak sesuatu dalam hati lebih mudah dari membuangnya.

Kisah cinta yang indah. Maka sejauh mana kemampuan untuk melupuskan rasa cinta yang telah lama bertapak atau hanya sekadar melupakan walau sesekali ianya datang menyapa lembut.

Tapi soalnya di sini..
Adakah boleh diletakkan sesiapa ataupun apa pun dalam hati selagi ianya tidak mengundang kemaksiatan pada perbuatan yang menampakkan jatuhnya akhlak seorang muslim/muslimah?

Ataupun
Lepaskan lah dan isilah hati dengan sesuatu yang lebih menjaga dirimu daripada melakukan kemaksiatan dan seterusnya merapatkan hubungan dengan Allah.

Ataupun
Letaklah hati pada yang menghargai kehadiran rasa. Ianya lebih memahami.

Sebaiknya
Yang pertama di hati adalah Allah. Tuhan yang membolak balikkan hati.

Maka,
Pilihlah Tuhanmu, kerana Dia, Pencipta Hati.


Aida Ishak
9 September 2014
Shah Alam


Saturday, September 6, 2014

Bingkisan Di Hari Lahirmu....



Dia sahabat
Ada di kala susah dan payah

Dia kekasih
Ada di waktu suka dan suka

Dia doktor
Ada di kala sihat dan sakit

Dia cikgu
Ada di waktu betul dan salah

Dia imam
Ada di masa tahu dan jahil

Dia suami
Ada di setiap saat,
Dekat di dalam hati,



Salam Hari Lahir Encik Hashim Ahmad Shiyuti


Friday, August 29, 2014

Studio Hati : Selagi Hidup..



Assalamaualaikum WBT







Bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang, tetapi berusahalah untuk tidak menyakiti hati mereka walaupun di saat hati kamu disapa kesakitan.

Studio Hati : Kerana Dirimu Seorang Lelaki...




Kerana dia seorang wanita
Pada dasarnya lembut
Pada dasarnya gemalai
Pada dasarnya lemah
Pada dasarnya memerlukan

Kerana dia seorang wanita
Pada hakikatnya kasar 
Pada hakikatnya tegas 
Pada hakikatnya kuat
Pada hakikatnya diperlukan

Kerana dia seorang wanita
Dia tak boleh lemah bila dia perlu mengasari jemari mengurusi rumah.
Dia tak boleh gemalai pabila dia perlu bertegas mendidik anak-anak.
Dia harus kuburkan kelemahan demi menguatkan sebuah ikatan.
Dia tidak boleh terus memerlukan kerana dia sangat diperlukan.

Kerana dia seorang wanita
Dia punya sekeping hati
Yang kadang merasai lebih
Walau bibir senyum melirik
Yang ada masanya pedih
Walau tawanya mengekek
Yang dalamnya sudah rebah
Walau di luar nampak tabah 

Kerana dia seorang wanita
Jangan disentuh hatinya dengan senjahan
Jangan diganggu hatinya dengan kesedihan
Jangan diusik hatinya dengan sindiran
Jangan direnggut hatinya dengan kesangsian

Kerana dia seorang wanita
Sentuhlah hatinya dengan belaian
Usiklah hatinya dengan kegembiraan
Hiburkan hatinya dengan pujian
Cuitlah hatinya dengan kepercayaan

Kerana dirimu lelaki
Percayalah
Tak rugi kata-kata
Tak hilang kuasa
Tak lari hebat 
Bila wanita dijaga hatinya

Aida Ishak
Shah Alam 

Thursday, August 28, 2014

Studio Hati : Hikmah Musafir




Memandang, menikmati, melewati dan mengambil ibrah
Detik ke detik berlalu dalam waktu
Waktu di mana aku masih dia yang dulu
Cepat sekali senja mendatang sedang tadi mentari bersinar riang




Safar membuat diri lebih mengenali dan mengerti
Akan alam, akan manusia
Alam yang auranya berbeda
Manusia yang tersiratnya tersurat

Moga Allah sentiasa memeliharaku
Di waktu aku masih dia dan di waktu aku menjadi kamu.
Aamiin.

Aida Ishak
nukilan musafir solo Segamat-Shah Alam
27 Ogos 2014

Tuesday, August 19, 2014

Lepaskan...

Assalamualaikum WBT


Ada hati yg bertegas mahu
Ada hati yg berbicara perlu
Ada hati yg bertanya lagi 
Ada hati yg bertekad pergi

Ada rasa yg masih jitu
Ada rasa yg kekal di situ
Ada rasa yg sipi-sipi
Ada rasa yg mahu lari

Ada akal yg diguna elok
Ada akal yg dipakai pelik
Ada akal yg diputar balik
Ada akal yg dilontar tak ditarik

Terima lah andai itu takdirnya
Andai itu jodohnya
Andai begitu keinginannya 
Andai di situ titik nokhtahnya

Melepaskan lebih bererti..



Igloomama
Shah Alam.

Sunday, May 11, 2014

Our never ending song.....





Pengorbanan tanpa syarat
Pemberian tanpa syarat
Pengelolaan tanpa syarat
Perjuangan tanpa syarat

Biar apa yang menanti
Kau tetap teguh berdiri
Dalam satu perjuangan yang tak berkesudahan
Engkau korbankan segala
Tak pernah pinta balasnya
Kau titiskan airmata
Namun tersenyum jua

Dilahirkan sebagai manusia biasa
Tetapi ditabalkan sebagai Ratu
Dia yang menahan sakit demi sebuah kehidupan
Dia yang bersengkang mata demi sebuah kehidupan
Dia yang berpenat lelah demi sebuah kehidupan
Dia yang sentiasa hebat di mata setiap kehidupan 

Allah beri dia
Untukku
Untukmu
Untuk kita semua

Ya Allah
Berikan aku kesempatan
Meraikannya
Memeluknya
Menciumnya
Membahagiakannya
Sepanjang hidupku
Aamiin.


Rindu Mak
Hari2 call Mak pun tak hapus rasa rindu kan...
So, cuba bayang kalau korang dah lama tak call mak korang..
Apa yang mak2 korang rasa..

Sebenarnya Mama bukan nak bebel apa pun..
orang dok celebrate hari ni as Hari Ibu..
cuma buat Mama..
up to korang untuk meraikan dalam satu2 masa..tapi bagi Mama, mereka WAJIB diraikan hari2..bukan hanya pada satu hari.
Jangan jadikan alasan sibuk untuk tidak meraikan mereka..
Jika korang sibuk pun..tak kan tak mampu nak spend RM2 sehari untuk tanya khabar mak2 korang melalui telefon kan..kita adalah kita sekarang juga adalah antara doa mereka....


Thursday, May 1, 2014

Studio Hati : Definisi Bahagia




Bila manusia mengejar wang untuk bahagia
Bahagia hanya dirasa bila berwang
Sedangkan bahagia bukan bila kita ada
Tapi bila kita membawa satu 'rasa' dalam hati

Bahagia adalah satu rasa yg boleh diberi tanpa sendiri merasa






Alangkah kasihannya seorang ayah yang terpaksa bekerja keras untuk menaik tarafkan ekonomi keluarga, tetapi tidak bekerja keras untuk memastikan sahsiah isi rumahnya sentiasa dinaik tarafkan.

Alangkah kasihannya seorang ibu yang terpaksa mengorbankan masa terbaiknya untuk merebut nikmat dunia sedangkan keluarga yang diamanahkan masih terumbang ambing untuk meraih betapa pentingnya redha Allah dan kenikmatan syurga.


Aida Ishak
1.5.2014
Shah Alam

Thursday, April 24, 2014

Studio Hati : Terima Kasih Suamiku




"Seorang isteri yang menghalang suaminya keluar berjuang akan sentiasa memiliki suami yang ingin keluar. Tetapi seorang isteri yang sentiasa meredhakan suaminya keluar dan berjuang, akan sentiasa mendapat seorang suami yang sentiasa berusaha untuk pulang." - saiful islam

Perkahwinan kami bakal menjejaki tahun ke-13. Mungkin masih lagi baru bagi sesetengah orang dan mungkin juga sudah lama bagi rakan-rakan sebaya kami.
Alhamdulillah. Kami dipertemukan dan disatukan tatkala usia kami masih muda, masih belajar, dan masih belum mempunyai pendapatan sendiri.

Kehidupan kami yang serba sederhana kami lalui dengan riang gembira, Alhamdulillah. Kami menyewa di sebuah rumah kecil di Kampung Sungai Cincin, Gombak dan kenderaan kami adalah sebuah motosikal Suzuki pemberian Ayah. 

Pernah kami hanya mempunyai RM2 di tangan dan minyak motor sudah perlu di isi. Satu sikap suami yang saya amat puji, sesusah mana pun kami, kami akan cuba untuk tidak menyusahkan sesiapa. Melihatkan duit yang hanya berbaki RM2, kami hanya duduk diam di rumah dan masak apa yang ada untuk mengalas perut. Nak dijadikan cerita, Kakak kami menelefon menjemput kami makan-makan di rumahnya. Demi memenuhi undangan Kakak, kami mengisi minyak motor dengan RM2 tersebut dan bergerak ke rumah Kakak yang terletak di Subang Jaya. Alangkah terkejutnya kami, bukan setakat dijamu makanan, kami diberi barang keperluan rumah yang sangat banyak dan juga wang saguhati. Ya Allah, Alhamdulillah..rezeki datang dengan tidak disangka-sangka..Alhamdulillah.

Alhamdulillah, Ayah memberi kami sebuah kereta di kala saya mengandungkan Allahyarham Al-Baihaqie. makin panjang langkah kami. sekejap ke Kelantan, sekejap ke Segamat. Umur Al-Baihaqie tak panjang. Allah sayangkannya, Allah beri kami saham akhirat, Alhamdulillah. Tunggu Mama dan Baba serta adik-adik ye sayang..

Kami pernah tidur hanya beralaskan sekeping comforter nipis, kami pernah berbasahan di atas motor untuk memenuhi kelas home tuition yang dikendalikan oleh suami, kami pernah menolak motor agak jauh kerana pancit tatkala beberapa minit lagi hendak berbuka puasa dan banyak lagi yang kami pernah lalui bersama yang pada mulanya kami rasakan amat payah tetapi selalu berakhir dengan pelangi indah. Semuanya bersama..Alhamdulillah.
Kerana dia suamiku..
Susah dan senang perlu bersama..

Apa yang saya belajar di awal-awal tempoh perkahwinan adalah sentiasa menyokong sesama sendiri. Memang kami masih muda, tidak berduit, tapi Allah berikan kami kekuatan dalam mengharunginya, dan Allah berikan kami untuk saling melengkapi. Saya sebenarnya tak pernah mengimpikan untuk hidup kaya, mewah, bergaya. Tetapi apa yang selalu saya panjatkan agar Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya dan memberikan kami keberkatan dalam kehidupan kami dan rezeki yang cukup untuk kami mendapat redhaNya. 

Terus terang saya banyak berubah semenjak berkahwin dan juga semenjak saya memasuki UIA. Allah sangat pemurah. Allah telah memperkenankan doa saya untuk mendapat suami yang bisa memimpin saya, imam yang mampu membimbing isteri dan anak2nya, nakhoda yang tangkas melawan tujahan ombak, komander yang bijak mengatur strategi urus hidup, ilmuwan yang lestari dan lantang menyuarakan yang hak dan batil dan juga yang sentiasa berlapang dada menerima ujian dan memaafkan.

Kerana saya isterinya
Saya rasa cukup untuk saya bergelut dengan masa sebagai pekerja dan juga tugas rumahtangga. Saya meminta izin untuk meletakkan jawatan dan dia mengizinkan. Isteri mana yang tidak gembira apabila tidak perlu lagi keluar dinihari dan pulang lewat petang. Isteri mana yang tidak senang hati bila peluang untuk tidak menswastakan penjagaan anak-anak kini menjadi kenyataan dan isteri mana yang tidak bersyukur apabila segala keperluan diberi malah lebih dari apa yang didapati semasa berkerja? Sayalah antara ribuan wanita yang gembira, senang hati dan teramat-amat bersyukur. 

"Susah kalau tak kerja, tak ada duit sendiri"

"Mesti boring sebab tak de duit nanti. Banyak benda tak boleh nak beli."

"Resign? Sapa nak bayar kereta?"

Senyum aje saya. Memang nampak macam susah. Tapi, Alhamdulillah. Allah memberikan kami rezeki yang tak kami sangka. 

Apabila anak-anak sudah mula bersekolah semuanya..saya cuba untuk membuat perkongsian manfaat dengan rakan-rakan. Alhamdulillah, sedikit sambutan. Saya tidak meletakkan diri saya sepenuhnya dalam mana-mana perniagaan, tetapi hanya sebagai sampingan. Bukan juga dengan niat untuk mendapat RM, tetapi hanya sekadar berkongsi dan membantu. Saya tiada kepandaian, kekuatan untuk dipertaruhkan, jadi saya jadikan pengalaman (barangan bayi jenama Bumble Bee, Pengguna tegar Tupperware dan Shaklee) sebagai satu pemangkin untuk saya memberi. Rezeki memang telah Allah tetapkan. Alhamdulillah. Suami? Dia bersetuju jika niat saya membantu tapi bukan untuk saya memberi sepenuh komitmen saya. Komitmen utama adalah keluarga.

"Aida tidak perlu tunggu kaya untuk memberi, tidak perlu poket penuh untuk memberi, tidak perlu menjadi seseorang untuk memberi. Rezeki juga bukan hanya pada duit."

Saya juga bersetuju dengan pendapatnya, dan saya bersyukur kerana Allah masih memberikan saya peluang dan ruang untuk saya memberi. Alhamdulillah.

Dia asuh saya untuk bersama-sama bila suka dan duka
Dia mengajar saya erti mensyukuri senang bila datangnya susah
Dia mengajar saya maksud ketawa sesudah tangis
Dialah ayah terbaik buat anak2 kami.


Ya,
Kerana dia suami...
Dan sebagai isteri,
Hati mana yang tak berbunga.



Saya percaya, 
Doanya sentiasa ada untuk saya
Dan dia sentiasa di dalam doa saya.

Terima kasih Abang kerana terlebih faham
Terima kasih Abang kerana terlebih memberi
Terima kasih Abang kerana tak kurang menegur
Terima kasih Abang kerana tak kurang menyokong
Moga Allah memberikan Jannah buatmu dan moga dirimu kejab memimpinku...
Aamiin.

:: Untuk Denise Bumblee Bee (moga Allah memberi hidayah Islam kepadanya), Untuk Kak Maraznita Tupperware dan Untuk Janet dan susur galur Shaklee, Terima Kasih buat segalanya. Jasamu dikenang, moga Allah membalasnya. Aamiin. ::

Aida @ Igloomama
Shah Alam


Wednesday, April 23, 2014

Studio Hati : Hati, Akal dan Mulut




Hati hanya ada satu
Di situlah dirasa
Di situlah disimpan
Di situlah dipendam

Akal juga ada satu
Tindakan terkawal
Tindakan luar kawal
Memori diingat
Memori berjaya disekat

Mulut juga ada satu
Mulut manis enak berbicara
Mulut senyum sedapnya melihat
Mulut busuk tak ada siapa nak dekat

Hati bila terasa
Akal cuba untuk menolak
Mulut selayaknya diam tanpa bicara
Bicaranya mulut tatkala itu
Pedih melekat buat yang mendengar
Kerana akal tak mampu menapis tindakan

Jangan diganggu pabila sesekali si dia senyap
Kerana mungkin dia sedang cuba sedaya upaya mengawal hati, akal dan mulutnya.
Memuhasabah diri
Mengenal pasti
Rentak dan gerak sewajarnya
Agar tak sumbang 
Agar juga tidak menyentap hati yang lain...


“Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
At-Taghabun : 14

Aida Ishak
Shah Alam
23.04.2014

Tuesday, April 22, 2014

Studio Hati : Kenapalah Aku Tak Ingat





Mengerti perasaan sakit
Mengingat kita tentang sihat
Gagah kuat
Bila sakit, rasa penat
Kenapalah aku tak ingat

Merasai rasa lapar
Mengimbas saat meja penuh makanan
Ini pun nikmat
Perut padat disumbat
Kenapalah aku tak ingat

Menempuhi rasa susah
Terimbau kenangan masa senang
Apa nak semua mudah
Ramai kawan datang rapat
Kenapalah aku tak ingat

Sakit, lapar, susah
Buat manusia resah
Buat manusia marah
Buat manusia sedar
Nikmat yang datang selalu dipersiakan
Bukan untuk dipersediakan

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan"
Ar-Rahman : 13

"Allah memberikan nikmat kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan barangsiapa yang diberi nikmat sesungguhnya ia telah diberi kebaikan yang banyak. Dan tiada yang mengambil pelajaran kecuali mereka yang berakal"
Al-Baqarah : 269

Aida Ishak
Shah Alam
22.04.2014

Monday, April 14, 2014

Studio Hati : Dunia....


Dunia
Kejar tak sudah
Lari sampai lelah
Harap mampu bertahan
Dibiar duka ke tepi
Dibuang nestapa menjegah rasa

Orang nampak gembira
Senang, ketawa dan kaya
Hati riang sehingga tak terkata
Ada yang orang lain tak ada
Biar mereka tahu
Bukan tak layak utk beria

Lelahnya manusia 
Penatnya mengejar
Letihnya mencakar

Sukanya manusia
Senangnya mengikat
Kayanya diangkat

Lupakah manusia
Yang senang disyukur
Yang sukar disabar
Yang dekat dihargai
Yang jauh diingati

Kaya di dunia harapnya kaya juga di sana

Aida Ishak
Shah Alam
14.4.2014

Monday, April 7, 2014

Studio Hati : Bila Kita Suka


Bila kita suka
Tak semua turut sama rasa suka

Bila kita suka
Bukan semua turut nampak elok

Bila kita suka
Ada yang tunjuk tak minat

Kita selalu jadikan manusia 
Yang tak punya sama rasa, nampak tak elok dan tunjuk tak minat
Sebagai petunjuk aras 
Asas pada membuat keputusan

Betulkan paksi
Ubahlah persepsi
Cukuplah manusia di matamu

Sandarkan 
Segalanya
Kesemuanya
Buruk baiknya
Hanya pada Allah

Bila kita suka
Tak semestinya itulah yang Allah tentukan suka untuk kita
Kerana Allah Maha Mengetahui yang mana nanti kita lebih suka rasanya.
Tak pahit, tak masam, tak masin.
Manis belaka...

Aida Ishak
Shah Alam
2.4.2014