Kerana dia seorang wanita
Pada dasarnya lembut
Pada dasarnya gemalai
Pada dasarnya lemah
Pada dasarnya memerlukan
Kerana dia seorang wanita
Pada hakikatnya kasar
Pada hakikatnya tegas
Pada hakikatnya kuat
Pada hakikatnya diperlukan
Kerana dia seorang wanita
Dia tak boleh lemah bila dia perlu mengasari jemari mengurusi rumah.
Dia tak boleh gemalai pabila dia perlu bertegas mendidik anak-anak.
Dia harus kuburkan kelemahan demi menguatkan sebuah ikatan.
Dia tidak boleh terus memerlukan kerana dia sangat diperlukan.
Kerana dia seorang wanita
Dia punya sekeping hati
Yang kadang merasai lebih
Walau bibir senyum melirik
Yang ada masanya pedih
Walau tawanya mengekek
Yang dalamnya sudah rebah
Walau di luar nampak tabah
Kerana dia seorang wanita
Jangan disentuh hatinya dengan senjahan
Jangan diganggu hatinya dengan kesedihan
Jangan diusik hatinya dengan sindiran
Jangan direnggut hatinya dengan kesangsian
Kerana dia seorang wanita
Sentuhlah hatinya dengan belaian
Usiklah hatinya dengan kegembiraan
Hiburkan hatinya dengan pujian
Cuitlah hatinya dengan kepercayaan
Kerana dirimu lelaki
Percayalah
Tak rugi kata-kata
Tak hilang kuasa
Tak lari hebat
Bila wanita dijaga hatinya
Aida Ishak
Shah Alam
No comments:
Post a Comment