Wednesday, November 19, 2014

Antara Paksa dan Rela



Anak-anak berupaya untuk menurut peraturan rumah masing-masing, 
jika rumah itu kaya dengan kasih sayang ibu bapanya.
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.




Pengalaman tinggal di sebuah perkampungan berdekatan dengan tempat belajar beberapa tahun lepas membuatkan saya memandang kaedah anak-anak dididik dengan pelbagai gaya dan cara.

Ada yang hanya pergi sahaja ke sekolah, sudah mencukupi. Ada juga yang diasak untuk belajar pandai-pandai agar dapat mengubah kehidupan keluarga. Namun, ada juga yang sibuk bermain ke sana sini, tetapi dia juga yang sentiasa naik ke pentas menerima pelbagai anugerah kecemerlangan.

Saya seronok memerhatikan mereka. Walau tidak mengenali kesemuanya, namun kehadiran mereka sememangnya membuat kawasan di sekeliling rumah kami tidak sunyi. Saya juga berkesempatan mengajar serba sedikit beberapa subjek untuk peperiksaan PMR dan membantu seorang anak jiran membuat kerja sekolahnya apabila dia datang menemani saya bermalam di rumah apabila ketiadaan suami.

Fadhilah namanya. Seorang anak yang punya semangat untuk belajar, namun kurang mendapat sokongan ibu ayah. Mungkin kerana ibu ayahnya harus bekerja kuat menguruskan satu warung menjual nasi lemak demi anak-anaknya yang ramai. Kemahuannya juga mungkin kadangkala terhalang kerana dia perlu mengambil alih peranan ibu ayahnya apabila mereka keluar berniaga.

Saya teringat apabila dia datang berjumpa saya dan membawa sedikit makanan. Senyum yang menguntum membuatkan wajahnya semakin comel.

“Kak! Saya dapat A dalam ujian (saya lupa subjek apa). Terima kasih Kak Aida!.” Dia menyalami tangan saya dan menghulurkan pinggan makanan yang saya fikir sebagai ucapan terima kasihnya. Bukan banyak pun yang saya bantu. Saya hanya menyarankannya untuk menggunakan kaedah bagaimana saya ingin memahami dan mengingatkan sesuatu. Dia teryata mampu membuatnya, kerana mahunya lebih.

Benarlah, rezeki bukan sahaja pada wang ringgit. Kemampuan menerima ilmu dalam bermacam-macam gaya dan cara juga adalah satu rezeki.

Letih memikirkan bermacam-macam cara yang mampu membuat anak-anak suka untuk mengulangkaji pelajaran. Tidak semua ibu bapa dianugerahkan dengan cahayamata yang rajin dan genius. Masing-masing punya kerenah dan keletah masing-masing. Cuma bagaimana penerimaan ibu bapa dan bagaimana ibu bapa memain peranan dalam membentuk jati diri dalam diri mereka serta penerapan rasa mahu dan mampu.


“Allah mengangkat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujaadilah: 11)

Mekanisma anak-anak zaman sekarang tidak boleh dimarah dan diberi amaran seperti zaman ibu bapa dahulu. Ibu bapa dahulu sememangnya terkenal dengan sifat garang dan tegas dan Masya Allah, kebanyakan mereka berjaya mendidik dan mengajar anak-anak mereka sekurang-kurangnya untuk menjadi ‘orang’. Namun, kaedah zaman ibu bapa dahulu tidak boleh diguna pakai dalam pembentukan jati diri anak-anak zaman sekarang. Tentu jenuh ibu bapa melayan pemberontakan mereka.

Saya pasti, perkara ini berlaku kerana kita sebagai ibu bapa, tidak mahu anak-anak kita merasakan ketakutan atas kegarangan ibu bapa seperti ibu bapa kita dahulu. Oleh itu, sebagai ibu bapa, kita lebih suka jika mereka dibelai dengan kasih sayang (yang kadangkala berlebihan dan tidak kena dengan caranya) dan memberikan apa sahaja yang diminta dengan alasan kita dahulu tidak dapat apa yang kita mahukan.

Sememangnya ada di antara cara-cara berhemat tersebut mendatangkan kelebihan dalam sistem penerapan nilai pada anak-anak, namun bukan semua watak anak-anak berpadanan dengan kaedah tersebut.

Jika ibu bapa punya berlainan karekter, tentu anak-anak juga begitu, dan tentunya kaedah pendidikan juga perlu berbeza. Satu cara yang selalu digunakan oleh ibu bapa bagi menginginkan anak-anak mereka berjaya adalah dengan kaedah ‘paksa rela’. Tetapi, para ibu bapa perlulah berjaga-jaga dengan kaedah ini.

Jiwa yang selalu dipaksa selalunya terbahagi kepada dua kategori.

1. Semakin dipaksa semakin menjadi
2. Semakin dipaksa semakin benci

Anak-anak yang dipaksa belajar tetapi dengan panduan yang tertentu dan tatacara belajar yang sistematik, ataupun dihadirkan ke kelas-kelas bimbingan yang terbaik dengan guru-guru yang hebat dalam menangani psychology anak-anak, berkemungkinan kaedah paksa rela itu menjadi. Semangat mereka dipupuk dan dimesrai. Lebih-lebih lagi jika mereka dididik untuk belajar kerana Allah dan menimba ilmu untuk meningkatkan ketaqwaan pada Allah. Penerapan kaedah yang berkesan seperti ini mampu menukar paksa kepada rela dan rela menjadi redha yang akhirnya membawa kepada satu bentuk kejayaan yang bukan hanya pada peratusan di kelas, tetapi mempunyai daya tarikan Islami yang menyamankan.




Berlainan dengan anak-anak yang dipaksa belajar dengan satu method yang memerlukannya mendapat no.1 agar nanti akan dapat hadiah dan dikenali ataupun perlu belajar pandai-pandai, bila besar nanti akan jadi orang kaya dan ternama. Mereka dilihat akan menjadi lebih stress dan sesi pembelajaran menjadi lebih menyakitkan dan melemaskan. Ibu bapa atau guru yang lebih mementingkan gred ataupun yang lebih menyayangi dan menghargai mereka yang pandai, hanya akan mendapat mereka yang pandai dan akan kehilangan mereka-mereka yang lebih memerlukan kepakaran mereka. Maka, kaedah paksa rela ini akan menjadi satu mimpi ngeri pada anak-anak yang ada mahu tetapi malu.

Nampak begitu payah menjaga amanah Allah ini.

Betul. Sememangnya bukan mudah dalam mujahadah. Apa yang penting, ajarlah mereka untuk memahami tauhid dan apa tujuan hidup. Ajarilah mereka Al-Quran dan ajarilah mereka untuk menimba ilmu agar mereka dapat memberi sebanyak-banyaknya nanti.

“Barangsiapa yang memilih jalan yang ada padanya ilmu maka akan Allah akan memudahkan baginya jalan menuju Syurga.” (Riwayat Muslim)


igloomama
shah alam

No comments:

Post a Comment