"Seorang isteri yang menghalang suaminya keluar berjuang akan sentiasa memiliki suami yang ingin keluar. Tetapi seorang isteri yang sentiasa meredhakan suaminya keluar dan berjuang, akan sentiasa mendapat seorang suami yang sentiasa berusaha untuk pulang." - saiful islam
Perkahwinan kami bakal menjejaki tahun ke-13. Mungkin masih lagi baru bagi sesetengah orang dan mungkin juga sudah lama bagi rakan-rakan sebaya kami.
Alhamdulillah. Kami dipertemukan dan disatukan tatkala usia kami masih muda, masih belajar, dan masih belum mempunyai pendapatan sendiri.
Kehidupan kami yang serba sederhana kami lalui dengan riang gembira, Alhamdulillah. Kami menyewa di sebuah rumah kecil di Kampung Sungai Cincin, Gombak dan kenderaan kami adalah sebuah motosikal Suzuki pemberian Ayah.
Pernah kami hanya mempunyai RM2 di tangan dan minyak motor sudah perlu di isi. Satu sikap suami yang saya amat puji, sesusah mana pun kami, kami akan cuba untuk tidak menyusahkan sesiapa. Melihatkan duit yang hanya berbaki RM2, kami hanya duduk diam di rumah dan masak apa yang ada untuk mengalas perut. Nak dijadikan cerita, Kakak kami menelefon menjemput kami makan-makan di rumahnya. Demi memenuhi undangan Kakak, kami mengisi minyak motor dengan RM2 tersebut dan bergerak ke rumah Kakak yang terletak di Subang Jaya. Alangkah terkejutnya kami, bukan setakat dijamu makanan, kami diberi barang keperluan rumah yang sangat banyak dan juga wang saguhati. Ya Allah, Alhamdulillah..rezeki datang dengan tidak disangka-sangka..Alhamdulillah.
Kami pernah tidur hanya beralaskan sekeping comforter nipis, kami pernah berbasahan di atas motor untuk memenuhi kelas home tuition yang dikendalikan oleh suami, kami pernah menolak motor agak jauh kerana pancit tatkala beberapa minit lagi hendak berbuka puasa dan banyak lagi yang kami pernah lalui bersama yang pada mulanya kami rasakan amat payah tetapi selalu berakhir dengan pelangi indah. Semuanya bersama..Alhamdulillah.
Kerana dia suamiku..
Susah dan senang perlu bersama..
Apa yang saya belajar di awal-awal tempoh perkahwinan adalah sentiasa menyokong sesama sendiri. Memang kami masih muda, tidak berduit, tapi Allah berikan kami kekuatan dalam mengharunginya, dan Allah berikan kami untuk saling melengkapi. Saya sebenarnya tak pernah mengimpikan untuk hidup kaya, mewah, bergaya. Tetapi apa yang selalu saya panjatkan agar Allah sentiasa melimpahkan rahmatNya dan memberikan kami keberkatan dalam kehidupan kami dan rezeki yang cukup untuk kami mendapat redhaNya.
Terus terang saya banyak berubah semenjak berkahwin dan juga semenjak saya memasuki UIA. Allah sangat pemurah. Allah telah memperkenankan doa saya untuk mendapat suami yang bisa memimpin saya, imam yang mampu membimbing isteri dan anak2nya, nakhoda yang tangkas melawan tujahan ombak, komander yang bijak mengatur strategi urus hidup, ilmuwan yang lestari dan lantang menyuarakan yang hak dan batil dan juga yang sentiasa berlapang dada menerima ujian dan memaafkan.
Kerana saya isterinya
Saya rasa cukup untuk saya bergelut dengan masa sebagai pekerja dan juga tugas rumahtangga. Saya meminta izin untuk meletakkan jawatan dan dia mengizinkan. Isteri mana yang tidak gembira apabila tidak perlu lagi keluar dinihari dan pulang lewat petang. Isteri mana yang tidak senang hati bila peluang untuk tidak menswastakan penjagaan anak-anak kini menjadi kenyataan dan isteri mana yang tidak bersyukur apabila segala keperluan diberi malah lebih dari apa yang didapati semasa berkerja? Sayalah antara ribuan wanita yang gembira, senang hati dan teramat-amat bersyukur.
"Susah kalau tak kerja, tak ada duit sendiri"
"Mesti boring sebab tak de duit nanti. Banyak benda tak boleh nak beli."
"Resign? Sapa nak bayar kereta?"
Senyum aje saya. Memang nampak macam susah. Tapi, Alhamdulillah. Allah memberikan kami rezeki yang tak kami sangka.
Apabila anak-anak sudah mula bersekolah semuanya..saya cuba untuk membuat perkongsian manfaat dengan rakan-rakan. Alhamdulillah, sedikit sambutan. Saya tidak meletakkan diri saya sepenuhnya dalam mana-mana perniagaan, tetapi hanya sebagai sampingan. Bukan juga dengan niat untuk mendapat RM, tetapi hanya sekadar berkongsi dan membantu. Saya tiada kepandaian, kekuatan untuk dipertaruhkan, jadi saya jadikan pengalaman (barangan bayi jenama Bumble Bee, Pengguna tegar Tupperware dan Shaklee) sebagai satu pemangkin untuk saya memberi. Rezeki memang telah Allah tetapkan. Alhamdulillah. Suami? Dia bersetuju jika niat saya membantu tapi bukan untuk saya memberi sepenuh komitmen saya. Komitmen utama adalah keluarga.
"Aida tidak perlu tunggu kaya untuk memberi, tidak perlu poket penuh untuk memberi, tidak perlu menjadi seseorang untuk memberi. Rezeki juga bukan hanya pada duit."
Saya juga bersetuju dengan pendapatnya, dan saya bersyukur kerana Allah masih memberikan saya peluang dan ruang untuk saya memberi. Alhamdulillah.
"Aida tidak perlu tunggu kaya untuk memberi, tidak perlu poket penuh untuk memberi, tidak perlu menjadi seseorang untuk memberi. Rezeki juga bukan hanya pada duit."
Saya juga bersetuju dengan pendapatnya, dan saya bersyukur kerana Allah masih memberikan saya peluang dan ruang untuk saya memberi. Alhamdulillah.
Dia asuh saya untuk bersama-sama bila suka dan duka
Dia mengajar saya erti mensyukuri senang bila datangnya susah
Dia mengajar saya maksud ketawa sesudah tangis
Dialah ayah terbaik buat anak2 kami.
Ya,
Kerana dia suami...
Saya percaya,
Doanya sentiasa ada untuk saya
Dan dia sentiasa di dalam doa saya.
Terima kasih Abang kerana terlebih faham
Terima kasih Abang kerana terlebih memberi
Terima kasih Abang kerana tak kurang menegur
Terima kasih Abang kerana tak kurang menyokong
Moga Allah memberikan Jannah buatmu dan moga dirimu kejab memimpinku...
Aamiin.
:: Untuk Denise Bumblee Bee (moga Allah memberi hidayah Islam kepadanya), Untuk Kak Maraznita Tupperware dan Untuk Janet dan susur galur Shaklee, Terima Kasih buat segalanya. Jasamu dikenang, moga Allah membalasnya. Aamiin. ::
Aida @ Igloomama
Shah Alam
No comments:
Post a Comment